Semasa aku masih belajar di sebuah institusi di Selangor dulu, tiap kali aku lalu deretan kedai nasi campur di gate belakang, aku akan bertembung dengan student membeli lauk. Yang peliknya, mereka bawa tupperware sendiri. Satu demi satu lauk dipilih, dimasukkan dalam tupperware. kemudian dibawa ke kaunter untuk bayaran. Kadangkala bukan seorang dua, tapi tiga, empat orang. Beramai ramai dengan tupperware sendiri. Kemudian aku mula terperasan mereka pakai baju yang berlogo sama, pada hari yang sama.
Aku dapat kesimpulan--bahawa mereka mungkin dari sebuah kelab/persatuan dalam IPTA yang memulakan gerakan anti-polisterin.
Itulah yang paling awal aku mendengar mengenai "gerakan hijau" di kawasan ini. Ini jauh lagi sebelum kewujudan Azmin sebagai kuasa besar PKR, dan Khalid masih bersayang-sayangan dengan abam Nuar. Mungkin pada masa itu kelab itu terpengaruh dengan kebanyakan negara Eropah yang lebih dahulu membuat ban terhadap beg plastik dan polisterin.
Kemudian, lebih kurang sedekad tahun kemudian, muncullah gerakan hijau yang wajib bagi negeri Selangor ini - iaitu gerakan anti beg plastik dan polisterin. Bermula dengan pemisahan sampah kepada sampah dapur dan sampah boleh kitar semula, hinggalah bayaran bagi setiap plastik yang diberikan oleh pihak kedai.
Aku dengar, sejak mulanya gerakan hijau di negari Selangor ni, banyak betul rungutan, bahawa pihak kerajaan hanya mahu mendapatkan keuntungan dengan harga plastik dua puluh sen sehelai. Bagi aku, ya mungkin kerajaan juga ada sedikit pentingkan diri sendiri--mungkin sekali mereka dah tak cukup
landfill untuk buang sampah atau kos dah semakin tinggi--jadi terpaksa enforce benda ini.
Tapi kenapa dua puluh sen bagi beg plastik?
Bagi aku, lima puluh sen pun boleh. Hah!
Bukan aku kaya tapi, aku faham nilai ini ialah sekadar nilai arbitrari yang mereka letak. Nilai beg plastik sebenar bukanlah dua puluh sen.
Nilai dua puluh sen ini adalah cukup rendah bagi orang yang betul-betul urgent memerlukannya (eg beli barang susah pegang), tetapi cukup tinggi untuk orang merungut.
Supaya orang berkata "fak mahalnya! Baik aku bawa plastik sendiri!"
Dan apabila orang berkata begitu-- dan berhenti meminta beg plastik lima enam helai untuk satu orang hanya kerana "tak suka barang bercampur"-- lama-lama supermarket tidak perlu lagi menghulur beg plastik--dan objektif Gerakan Hijau yang sebenar akan tercapai.
Aku--secara jujurnya, tak terkesan sangat dengan caj beg plastik ni. Oleh sebab semenjak-dua-menjak ni produk / syarikat selalu menghadiahkan non-woven bag untuk pembelian barang atau atas dasar promosi. Aku ada non woven bag dari Texas Chicken, KFC, Simplot, Tesco, Lejen, Dubook, Terfaktab...dan beg yang dibeli sendiri juga ada beberapa buah. Aku rasa ini juga adalah satu bentuk dari Gerakan Hijau -- bukan negara kita saja tapi seluruh dunia, iaitu menggalakkan penggunaan beg guna semula berbanding beg biasa.
Ahad lepas aku kembali ke kawasan tempat aku belajar dulu, dan aku singgah di KFC. Student yang ada di situ--bukan saja yang berbaju logo kelab--namun yang berselipar dan baju biasa pun join sekali dalam gerakan hijau. Masa penjaga kaunter beritahu dia tapau kena caj beg plastik 20 sen, student tu keluarkan beg plastik dia sendiri!
Mungkin sekali, dia lakukan ini kerana mahu jima duit. Siapa tahu dengan syarat pinjaman Mara / PTPTN diketatkan, mungkin pelajar dah tak cukup dana jadi mereka terpaksa jimat di mana mampu.
Tapi aku yakin, bermula dengan penjimatan "secara paksa" ini, lama-lama ia akan diterima dengan hati terbuka dan semua orang pun akan bawa beg sendiri seperti mana di negara
Ireland. Penggunaan beg plastik di Ireland berkurangan sejak mereka meletakkan caj beg plastik. Daripada 200+ beg perkapita, turun ke bawah 15 perkapita dalam sedekad!
Tentunya usaha ni kena berterusan, baru menjadi. Ada kajian mengatakan beg kanvas dapat melawan impak beg plastik kepada alam sekitar jika digunakan
sekurang-kurangnya 171 kali. Nampak banyak kan--tapi memandangkan kita pun keluar rumah 2-3 kali seminggu--tak ada masalah untuk offset impak ni dalam setahun.
Kepada yang sudah mula menggunakan beg kanvas/non-woven sekarang, teruskanlah. Biarlah geng-geng tertentu mengapi-apikan isu dua puluh sen ini. Biarlah mereka sayang sangat pada plastik.
Sebab itulah cerminan mereka.