Saturday, 14 January 2017

Sebab itulah kau miskin.


Masa aku bekerja pejabat dulu (apa, kau ingat aku ni jobless sejak grad ke, hekeleh), aku pernah OT sampai malam. Dan kebetulan ketika itu bos ada, sedang check fail; dan aku terdengar perbualannya dengan pak guard, dan PA. Pak guard sedang mempersoalkan kenapa gajinya kecil bulan ini, dan aku dengar PA menerangkan perkiraan yang digunakan. Pak guard berpuas hati lalu menamatkan perbualan. Si PA menggeleng kepala dengan silap kira siPak Guard. Kemudian, si boss berkata sesuatu yang aku ingat sampai harini.

"Dia bodoh sebab itulah dia jadi pak guard. Kalau dia pandai dia jadi boss."

Aku terkedu dengan ayat tadi. Mungkin aku juga terasa, kerana gaji aku limakali ganda kecilnya daripada si Mem Boss.

Atau mungkin kerana itu kebenarannya?

Entahlah, aku kira zaman sekarang kemahiran/intelligence tak naik selaras dengan gaji. Di sesetengah bidang, gaji masih kekal pada gaji pemula sedangkan dalam bidang lain ia naik meninggi.

Begitu juga dengan berniaga. Kau dapat niche area, target market yang betul, kau naik. Kalau niche kau sungguh spesifik dan niche itu hilang dengan peredaran zaman, kau juga turut hilang. Contoh, mesin proses gambar filem Kodak. Ada lagi tak? Atau fon buka-katup motorola. Dulu kool, sekarang ada lagi ke?

Oh ya, dan penting -- kadangkala tak semua memiliki peluang yang serupa.

Ketika aku balik kampung mertua dahulu. Aku diperkenalkan dengan saudara maranya. "Ini Salbiah," kata si  kakak mertua, "Salbiah cemerlang dalam pelajaran, cuma Makcik tak ada wang untuk hantar dia belajar diploma. Sekarang dia jadi kerani di syarikat Cina. Kesian dia, teringin sangat nak belajar."

Kalau Salbiah dapat belajar diploma perakaunan yang diminatinya, mungkin juga dia boleh sambung ke ijazah, dan mengambil peperiksaan untuk meluluskan dia menjadi akauntan bertauliah, dan bekerja di bank dengan gaji ribu-ribu. Tapi sekarang, Salbiah harus redha dengan menjadi kerani di sebuah daerah kecil.

Maka inilah kesimpulan aku--mentaliti "kau tak kerja kuat macam aku sebab tu kau tak kaya macam aku" adalah mentaliti yang salah sama sekali. Aku yakin, kadangkala dengan membanting tulang 20 jam sehari pun belum tentu ada yang mencapai ribuan ringgit. Macam seorang Pak Guard contohnya - 12 jam sehari, 7 hari seminggu - gaji minimum wage RM900. Sedangkan kau yang mungkin bekerja sejam boleh dapat 5-8k. Itu belum lagi kalau kau bekerja sepenuh hari, mana taknya kau jutawan!

Ini bukan niat aku untuk menempelak orang kaya. Jauh sekali merasa dengki dengan kejayaan hasil usaha peluh kau. Cuma aku mahu beritahu, jangan lupa, ketika kau di atas itu, ramai lagi yang tergapai-gapai di bawah, tak dapat keluar kerana ada siling kaca yang menghalang. Apa yang mereka boleh buat ialah merenung melihat kesenangan kau dari jauh. Dan jangan juga pandang serong mereka yang bekerja "bawah-bawahan" - cashier, waiter, receptionist, salesrep - sebagai orang yang menyedihkan (kalau kau pernah kerja kecil-kecil seperti ini kau tau lah macamana orang kaya pandang dan cakap dengan kau).

Maka dengan itu kalau ada peluang, berkongsilah. Kau jumpa makcik gerai tepi jalan, kau beli kuih dia semua jenis walaupun kau makan goreng pisang saja (pastu bagi la orang lain kuih tu, itupun susah). Rezeki yang kau dapat sejam 5-8k itu bukan saja rezeki kau, tapi rezeki dia juga. Kau jumpa member baru start khidmat lukis ilustrasi, kau bagilah dia job, DAN tak minta bayar kurang (yang viral duit sale ratus ribu-ratus ribu pun nak minta design kad diskaun tu, apahal? Sakit jantung ke kalau duit titik peluh kau tu kena serah kat orang lain? Titik peluh MEREKA macam mana?).

Also yang paling penting--ialah jangan menempelak kegagalan mereka mencari rezeki. Mereka berada di situ bukan kerana mereka bodoh atau malas. Berilah mereka galakan dan doa. Tak ada orang nak jadi miskin. Ramai juga nak jadi kaya, atau sekurang-kurangnya cukup harta untuk memastikan anak bini ada rumah dan ada pinggan penuh makanan setiap hari.

Dan percayalah, mereka juga berusaha untuk dapatkan wang sebanyak mungkin. Mungkin sama banyak dengan kau, atau mungkin lebih. Dan kerana nasibnya di mana rezekinya belum tiba lagi, dia harus redha dengan beberapa butir nasi dan beberapa helai not merah dalam dompet.

Mereka juga ingin membeli skaf bertatah swarovski lapan ratus ringgit tanpa berkata, "Mahalnya! Kalis api neraka ke tu?"

1 comment:

  1. Comic : "No One Ever Handed Me Anything On A Plate"
    http://imgur.com/gallery/j7v8Uhy

    ReplyDelete